Monday, November 24, 2014

Perbezaan Sebelum & Selepas Menjadi WAHM

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Hari ini saya akan kongsikan pengalaman saya sendiri setelah hampir 6 tahun menceburi bidang perniagaan online ini. Saya mula berniaga online dengan menjual tudung dan kain ela bermula dari tahun 2009 lagi apabila saya mula berjinak dengan dunia blog. Berbekalkan minat, saya belajar membina sebuah blog menggunakan platform Blogger.com bergurukan kepada internet. Masa itu, saya juga masih bekerja dan berniaga online saya lakukan pada tengah malam ataupun pada hari cuti hujung minggu. Bayangkan, setiap hari saya tidur dalam pukul 2 pagi untuk menyiapkan blog dan pada masa itu tiada telefon pintar atau aplikasi yang serba canggih untuk membantu memudahkan kerja saya. Jika ambil gambar produk dari kamera, nak kena pindahkan masuk ke komputer riba dan edit masukkan dalam blog. Jadi, sudah tentu banyak masa saya dihabiskan di situ.


Saya juga aktif berniaga secara offline juga. Waktu itu, anak masih 2 orang dan suami sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Setiap hujung minggu, saya akan menyertai jualan bazaar-bazaar yang terdapat sekitar kediaman saya. Suami akan menjaga anak-anak di rumah dan saya akan keluar berniaga bersama kawan-kawan seperjuangan. Pelbagai pahit manis dalam berniaga telah saya tempuhi dan sudah pastinya ianya sangat berharga buat diri ini. Antara kenangan manis adalah dapat berjualan di Pesta Buku Antarabangsa 2010 dan menjual di bazar Ramadhan di Pusat beli-belah The Summit, USJ. Antara pengalaman pahit pula ditipu penganjur dan masalah kekurangan tenaga pekerja. Alhamdulillah, pengalaman mematangkan kita. Tak dinafikan berniaga secara offline ini memang memenatkan mental dan fizikal kerana awal-awal pagi sudah harus keluar menuju ke tempat berniaga dan seharian suntuk akan berada di sana demi menjual produk saya. Syukur saya hanya melakukannya pada hujung minggu sahaja, kalau tidak boleh bayangkan betapa penatnya saya nanti.


Selepas bersalin anak ke 3 saya sudah berhenti sekejap berniaga untuk lebih fokus kepada kerjaya. Saya bekerja di dalam sebuah syarikat kontraktor bumiputera dan pada waktu itu sangat sibuk dengan beberapa projek yang baru diperolehi oleh syarikat tempat saya bekerja. Ditambah dengan anak-anak yang selalu sakit dan masuk hospital, saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari berniaga. Semasa masih berkerja, tak dinafikan saya kurang fokus dan banyak main-main. Saya tiada target bulanan yang harus saya capai kerana saya tahu setiap bulan saya akan dapat gaji bulanan hasil dari bekerja. Berniaga pada waktu itu lebih kepada mahu cari "duit poket" sahaja. Saya juga berniaga seorang diri tanpa ada sifu atau kumpulan sokongan yang boleh membantu saya sekiranya saya menghadapi masalah atau kemurungan. Saya masih ingat lagi awal bulan Januari 2011 saya kehilangan teman baik saya yang banyak memberikan sokongan kepada saya dalam berniaga. Waktu itu saya memang tidak ada semangat langsung untuk berniaga.


Tahun 2012, saya mengandung anak ke 4 dan pada tahun tersebut juga saya telah melepaskan kerjaya demi untuk menjaga sendiri anak-anak. Alhamdulillah, suami tidak menghalang malah memberikan galakan supaya saya meneruskan balik apa yang telah saya mulakan dulu iaitu berniaga secara online. Sejujurnya saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja tanpa ada perancangan langsung. Alhamdulillah, dengan zaman serba canggih ini saya banyak dibantu oleh kawan-kawan alam maya yang mempunyai minat yang sama seperti saya seperti berniaga secara online. Dari sini saya mengenali apa itu "Malaysian Work at Home (WAHM) Community" dan banyak lagi. Saya baru sedar yang rupanya sudah ramai ibu yang melepaskan kerjaya profesional mereka demi untuk berada di rumah bersama anak-anak. Di awal tahun pertama, saya banyak belajar untuk menyimpan hasil duit perniagaan online saya. Walaupun sekadar mendapat RM5 hasil dari menjadi ejen dropship produk, saya simpan dan pada hujung bulan saya cukup terkejut dengan jumlah yang saya kumpulkan itu. Dari situ, saya belajar untuk membayar bil internet saya sendiri.


Sekarang ini sudah lebih 2 tahun saya berada di rumah bersama anak-anak. Jadual kerja sudah semakin mendapat "rentak" dan saya akui pemikiran saya juga sudah banyak berubah. Jika sebelum ini, saya tidak menitikberatkan rekod kira-kira duit masuk dan duit keluar hasil dari berniaga tapi sekarang saya sudah mempunyai rekod akaun mengikut bulan dan setiap sen duit yang masuk atau keluar saya akan catat. Ini semua hasil selepas memasuki kelas urus akaun untuk WAHM secara online dimana timbul kesedaran di dalam diri untuk merekod dan menguruskan duit perniagaan dengan baik. Alhamdulillah, banyak yang saya belajar dan rupa-rupanya kemahiran dan pengalaman sewaktu bekerja dahulu banyak membantu saya dalam melancarkan rekod dan kiraan untung rugi. Tapi saya hanya kira mengikut pemahaman saya dan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki lagi.

Yang pasti, saya sendiri juga sudah banyak berubah. Kalau dulu selalu rasa rendah diri dan kurang keyakinan diri kerana selalu membanding-bandingkan diri dengan kawan-kawan yang berjaya dalam kerjaya pilihan mereka tapi sekarang ini saya rasa lebih santai dan tidak tertekan sangat dengan pandangan orang luar terhadap kerjaya saya iaitu surirumah. Yang penting, saya tahu apa yang saya buat dan suami sentiasa memahami dan memberikan sokongan kepada saya. Alhamdulillah, jujur saya katakan sejak anak-anak berada di bawah jagaan saya, kadar kekerapan mengunjungi klinik dan hospital juga sudah berkurangan. Walaupun masih ada banyak kekurangan pada diri ini terutamanya dalam menguruskan anak-anak, tapi saya rasa puas hati kerana makan pakai mereka masih terjaga.

Apa yang saya nampak, menjadi WAHM ini banyak merubah diri saya menjadi seorang yang positif dan lebih teratur dalam menguruskan masa. Jika dulu sewaktu masih bekerja, saya banyak main-main dan duit perniagaan selalunya habis setiapkali saya mendapat jualan. Tapi kali ini, saya lebih berhati-hati dalam menguruskan duit masuk kerana perlu membayar segala perbelanjaan seperti bil internet dan telefon yang saya gunakan untuk berbisnes. Selain itu, saya juga cukup teruja kerana dapat menyediakan ruang SOHO yang menjadi idaman saya sebelum berhenti kerja lagi. Duit yang saya dapat hasil dari berniaga saya kumpul dan rancang seeloknya untuk membina SOHO yang fleksibel untuk saya. Alhamdulillah, semalam suami baru aje siap bantu saya memasang rak di ruang SOHO untuk saya simpan segala rekod kerja saya.

Bukan apa, bila bekerja bersama anak-anak kecil memang agak mencabar terutamanya barang kita yang sentiasa akan diusik oleh mereka. Mula-mula memang rasa nak marah tapi sebenarnya salah saya juga yang tidak merancang dan meletakkan barang kerja saya dengan sebetulnya. Jadi, sedikit demi sedikit saya mula kumpul dan beli barangan untuk ruang SOHO saya di Ikea dan buat masa sekarang ini hasilnya seperti di dalam gambar di bawah :


Sekarang ini saya juga suka meluangkan masa membaca buku-buku motivasi atau ilmiah untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang ada juga membaca novel dan yang pasti sekarang ini saya akan cuba untuk menambahkan ilmu dan belajar dari mereka yang sudah berjaya. Melalui pemerhatian saya, mereka yang berjaya adalah dari kalangan orang yang suka membaca dan sentiasa belajar. Tidak kira lah apa jua bidang atau kelulusan yang mereka dapat. Insya Allah, sekarang ini pun saya dalam proses mengajak dan mengajar anak-anak supaya cintakan ilmu juga kerana ibubapa adalah contoh yang paling dekat dengan anak-anak.

Saya berharap tahun 2015 nanti saya akan lebih tersusun dan merancang perjalanan bisnes saya dengan lebih baik. Insya Allah saya juga mahu lebih aktif berkongsi dan mengajar secara offline supaya lebih ramai kaum surirumah dapat belajar untuk mencari pendapatan sendiri dan berasa seronok untuk tinggal di rumah bersama anak-anak.

Terima kasih kerana sudi membaca!

Thursday, November 20, 2014

Kelas Asas Blog & Fanpage (Mula Bisnes) & Beriklan Di Laman Mudah.my / Instagram Secara Offline


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Sudah agak lama saya tidak bersiaran. Ampun ya, masih bergelut untuk menguruskan anak-anak dan bisnes dalam satu masa. Tambahan pula suami kerapkali ke luar negara atas urusan kerja banyak membantutkan usaha saya untuk sentiasa mengemaskini blog.

Alhamdulillah, hari ini bagaikan ada satu semangat yang kembali meresap ke dalam jiwa. Syukur Allah telah berikan saya satu "tamparan manja" yang telah membuatkan saya tersedar dari tidur. Cukup-cukuplah berhibernasi, sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif berblog dan memberikan tips mahupun panduan dalam berbisnes online. Terima kasih pada mereka yang mengikuti blog ini dan menghantar e-mel mahupun menegur saya secara persendirian di ruangan facebook bertanyakan soalan. Saya cukup hargainya.

Langkah pertama saya untuk terus kembali aktif untuk menolong ibu-ibu surirumah mahupun suri bekerja yang ada niat untuk berhenti kerja dan berada di rumah adalah dengan mengadakan kelas secara offline. Cara ini lebih berkesan kerana saya dapat mengajar dan membantu anda menyiapkan sebuah blog & fanpage hanya dalam masa sehari juga. Kelas ini istimewa kerana saya akan ajar juga bagaimana untuk menggunakan perkhidmatan laman Mudah.my & Instagram sebagai satu cara untuk memasarkan produk anda. Nota & minuman juga akan disediakan.

Bagi yang berminat, boleh hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@gmail.com
Whats App : 012-970 6828

Setiap sesi saya hadkan seramai 3 orang supaya saya dapat memberikan tumpuan dan menyiapkan sebuah blog dan fanpage pada hari itu juga. Setiap pelajar diminta untuk membawa laptop sendiri dan wifi akan disediakan.

Friday, November 14, 2014

Kepuasan Dalam Perniagaan

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi di ambil dari laman fanpage Barangan Parti Harijadi

Alhamdulillah, sudah agak lama saya tidak menulis blog. Mungkin kerana kesibukan yang melanda dicampur dengan virus M membuatkan lebih lama blog itu tidak terusik. Tapi entri terakhir yang mempromosikan fanpage dan bisnes barangan parti harijadi sangat-sangat membantu saya dikenali oleh pelanggan.
Syukur ya Allah setiap minggu ada sahaja tempahan dan saya sangat gembira untuk menjual barangan parti harijadi kerana saya juga seorang ibu dan pernah melalui saat-saat bersengkang mata mencari barang parti dan tema yang sesuai untuk majlis anak-anak saya. Ada 3 kisah yang saya ingin kongsikan di sini. Saya berniaga bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata tapi dengan harapan dapat membahagiakan orang lain.
Kisah 1 : Mendapat tempahan 80pcs set alat tulis bertemakan Elmo Sesame Street dari Limbang Sarawak. Seorang ibu muda yang mempunyai anak authisme. Puas saya usahakan mencari tema Elmo tetapi kebanyakan kedai tidak ada stok kerana tema ini sangat jarang "dicari" oleh pelanggan. Jika mahu keluarkan stok baru kena tempah 15, 000 set alat tulis baru kilang akan keluarkan set yang baru. Jadi, saya terpaksa menukarkan kepada tema yang pelbagai. Mujur pelanggan dapat terima alasan dan alhamdulillah set barangan parti sudah selamat sampai di Pejabat Pos Limbang Isnin yang lepas 
Kisah 2 : Seorang ibu yang ingin mengadakan majlis harijadi bertemakan Frozen tetapi beliau berada di Qatar. Kami berurusan dengan email dan melaluinya saya mendapat tahu yang suaminya akan turun ke Kuala Lumpur untuk kursus selama seminggu. Ahad yang lepas, dibantu oleh suami yang senantiasa menjadi "runner" saya yangs etia, kami menghantar barangan tersebut nun jauh di Ukay Perdana dan hampir putus asa kerana pelbagai dugaan dan halangan yang menimpa seperti tersalah jalan (tipikal saya walaupun menggunakan "wayze" masih tak reti nak baca jalan) & anak-anak yang kelaparan. Akhirnya, Allah permudahkan dan barangan selamat diberikan kepada pelanggan dan sudah pun terbang ke Qatar menemui empunya yang membeli.
Kisah 3 : Seorang ibu muda yang membuat persiapan saat akhir menemui blog dan no telefon saya di carian google. Saya masih ingat lagi beliau menempah belon dan topi Frozen. Ikutkan hati saya tak suka mengambil tempahan "last minute" macam ini tetapi kebetulan waktu itu saya sedang mengambil stok. Jadi, selepas beliau membuat bayaran awalnya saya berjanji untuk berjumpa di Shah Alam tetapi pada malam itu kami ke Cyberjaya. Syukur sangat-sangat sebab kebetulan pelanggan juga baru balik dari Kajang. Maka bertemulah kami di hadapan Restoran Saba' dan melakukan urusniaga di situ. Alhamdulillah, saya gembira apabila melihat gambar dari akaun Instagram pelanggan.


Inilah kepuasan dalam perniagaan yang sebenarnya. Bukan keuntungan yang dicari tapi lebih kepada melihat kepuasan dan pelanggan suka dengan produk / perkhidmatan yang kita berikan. Insya Allah, selagi mampu saya mahu merealisasikan dan membantu lebih ramai ibubapa yang sedang merancang untuk mengadakan majlis harijadi anak-anak mereka.
Ini sebenarnya nak bagitahu yang blog banyak membantu saya mempromosikan bisnes kecil-kecilan saya di laman Google. Pelanggan datang bukan dari Selangor malah dari luar negara pun ada. Dengan ilmu dan bantuan dari Allah, saya dapat berurusniaga dengan mereka. Alhamdulillah:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...